Statistik dan reaksi Pentaksiran Tingkatan Tiga

Pentaksiran PT3 telah menerima pelbagai respons daripada pelbagai pihak. Pada peperiksaan sulung PT3 tahun 2014, tiada data rasmi dikeluarkan daripada Kementerian Pendidikan mengenai PT3 tahun ini berbanding peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). [10] Kebanyakan sekolah ternama pula mencatatkan kemerosotan mendadak jumlah pelajar yang mencatat keputusan semua A dalam mata pelajaran yang diambil di negara ini. Mengikut statistik yang dikemukakan oleh pihak wartawan, seramai 10 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mak Lagam, Kemaman mendapat keputusan cemerlang 11A dan 10A bagi PT3 mereka, manakala di Sekolah Raja Perempuan Taayah, Ipoh, hanya 22 daripada 123 pelajarnya mendapat keputusan 7A ke atas. [11] Respon yang sama juga telah didapati di sekolah-sekolah berasrama penuh dan sekolah-sekolah yang kluster. Namun hasil sulung PT3 yang dilaksanakan tahun ini menyaksikan keputusan mengejutkan dengan beberapa sekolah di luar bandar mencatatkan keputusan semua A dalam semua mata pelajaran. [11]

Ramai ibu bapa dan guru-guru sekolah memberikan pandangan mereka bahawa PT3 adalah peperiksaan yang paling bercelaru, kelam kabut dan kucar kacir.[12] Menurut Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, beliau menyifatkan format peperiksaan PT3 bersifat ad hoc (sementara), diumumkan lewat, anak-anak dijadikan bahan uji kaji, calon-calon dan para guru tidak diberitahu langsung tentang peperiksaan ini pada peringkat awalnya dan banyak lagi. Menurutnya lagi, ibu bapa tidak berpuas hati dengan pentaksiran mengikut sekolah ini kerana kertas jawapan diperiksa oleh guru yang sama mengajar di sekolah, tidak guru dari sekolah atau negeri lain, dan mempersoalkan tentang keadilan untuk memohon masuk ke sekolah berasrama penuh.[12] Beliau mencadangkan agar membuat tinjauan secara jujur, dan mengambil cadangan dari kalangan guru dan ibu bapa.

Sesetengah ibu bapa pula merasakan ada keperluan untuk memberi peluang kepada kerajaan untuk melaksanakan PT3 terlebih dahulu. Mereka juga menganggap bahawa adalah tidak wajar menyalahkan sepenuhnya pihak-pihak tertentu berhubung keputusan berkenaan.[13]

Untuk membolehkan ibu bapa serta pelajar lebih memahami pelaksanaan peperiksaan itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Profesor Madya Datuk Mohamad Ali Hasan menyarankan agar Kementerian Pendidikan Malaysia menyediakan buku garis panduan lengkap yang mengandungi maklumat terperinci berkaitan ujian PT3. Menurutnya lagi, antara kandungan yang perlu dinyatakan dalam buku berkenaan ialah mengenai kaedah penilaian dan pentaksiran PT3 dilaksanakan.[14]

Rujukan

WikiPedia: Pentaksiran Tingkatan Tiga http://news.abnxcess.com/bm/2014/12/beri-peluang-l... http://www.astroawani.com/news/show/keputusan-pt3-... http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsperspe... http://www.cikguhailmi.com/2013/12/ppmr-ganti-pmr-... http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2... http://www.malaysiakini.com/news/257444 http://didikmalaysia.com.my/bm/?page_id=527 http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&d... http://www.sinarharian.com.my/nasional/guru-tak-pe... http://www.sinarharian.com.my/nasional/kerajaan-ak...